Assalamualaikum/ Selamat Sejahtera.
Selamat berpuasa semua. Sudah lama rasanya kita tidak bersiaran kan? Bukan apa, Pungguk Siber kini sibuk dengan PRU dan menguruskan hal-hal berkaitan sastera bagi memastikan anda semua dapat mengenali e-sastera dengan lebih dekat. Oh ya, pada minggu lepas, Pungguk Siber telah diminta untuk membentang sebuah e-cerpen dan menganalisis cerpen tersebut menggunakan teori-teori sastera yang telah diperkenalkan oleh sasterawan. Dalam pembentangan tersebut, Pungguk Siber telah memilih e-cerpen yang dihasilkan oleh Miqael Arshad, seorang blogger yang aktif dalam menghasilkan karya-karya siber di blog beliau, miqaelarshad.blogspot.com. Kalau anda berkelapangan silalah singgah di blog beliau ya.
Berbalik kepada analisis yang Pungguk Siber (PS) lakukan sewaktu pembentangan tersebut, PS telah memilih salah satu cerpen yang terdapat di dalam blog Miqael Arshad bertajuk Ramadhan Terakhir. Tajuk ini bertepatan dengan bulan puasa yang kita sedang lalui sekarang. Cerpen Ramadhan Terakhir ini mengisahkan tentang hubungan kekeluargaan yang semakin renggang setelah anak-anak Haji Fuad dan Hajah Salmah mempunyai kehidupan masing-masing dan mendirikan rumah tangga. Mereka berdua tinggal bersama anak angkat mereka yang bernama Asyura. Haji Fuad dan Hajah Salmah mencuba untuk memujuk anak-anak mereka iaitu Syukri dan Syida supaya pulang beraya bersama mereka pada tahun itu kerana anak-anak mereka telah lama tidak pulang meraikan hari raya pertama di kampung. Cerpen ini mengisahkan kasih sayang ibu bapa dalam membesarkan anak-anak mereka dan penantian dalam menunggu kepulangan anak mereka di hari lebaran.
Mengenai teori pula, PS memilih Teori Konseptual Kata Kunci yang diperkenalkan oleh Mokhtar Abu Hassan. Apa itu Teori Konseptual Kata Kunci? . Teori ini pada asalnya dibina apabila Mohamad Mokhtar membuktikan tanggapan tanggapan Anna Wierzika, iaitu seorang Profesor Linguistik di Australian National University yang menyatakan bahawa budaya dan masyarakat boleh diperjelaskan kepada umum melalui kata-kata kunci. Dengan kata kunci juga, khalayak boleh mengenali dan memahami kehidupan, citra dan budaya sesuatu masyarakat dengan cara mendalami dan melihat kepada turutan makna kata yang hadir dalam kehidupannya. Selain itu, bagi menguatkan keyakinannya terhadap kekuatan kata kunci ini, Mokhtar juga menguatkan tanggapannya kepada pendapat Hashim Musa. Dalam bukunya yang berjudul Pengantar Falsafah Bahasa, Hashim menjelaskan bahawa `Kata Kunci ialah sejumlah perkataan dalam pembendaharaan kata sesuatu bahasa yang sangat kuat mempengaruhi pembentukan fikiran, konsepsi masyarakat itu tentang kewujudan alam, realiti dan kehidupan mereka`. Beliau turut menghuraikan pendapat Reymond Williams yang menyatakan bahawa kata-kata dan makna boleh mempengaruhi tingkah laku sosial dan budaya dalam sesuatu masyarakat. Berdasarkan kepada pandangan dan dapat dua orang tokoh linguitik itu, Mohamad Mokhtar percaya bahawa budaya dan tingkah laku sosial dalam karya sastera tidak hanya boleh dilihat dari pandangan Semiotik, sebaliknya dapat didalami dengan menganalisis kehadiran kata-kata yang dihubungkan secara bermakna dengan kata kunci. Menerusi teori ini, Mohamad Mokhtar Hassan telah menghuraikan makna Konseptual Kata Kunci dan menerangkan tiga prinsip utama teori iaitu kepengaruhan, diksi dan kesan. Faham? secara ringkas dan mudahnya Teori Konseptual Kata Kunci ini menjelaskan tentang kata kunci yang terdapat dalam sesebuah karya dan elemen-elemen lain yang terkandung dalam kata kunci tersebut. Keterangan mengenai prinsip-prinsip Teori Konseptual Kata Kunci ini boleh dilihat pada video yang akan dilampirkan.
Penganalisisan Teori Konseptual Kata Kunci dalam cerpen Ramadhan Terakhir ini, PS mendapati beberapa kata kunci yang telah dikenalpasti, iaitu KESEDIHAN, KEMARAHAN, KASIH SAYANG dan PENYESALAN. Maklumat yang lebih jelas tentang analisis ini adalah seperti video berikut:
Bagaimana? berdasarkan analisis dalam video di atas, adakah anda semua faham tentang Teori Konseptual Kata Kunci? Jika ya, anda boleh juga cuba terapkan teori ini terhadap cerpen-cerpen atau novel-novel yang lain. Selamat mencuba....