Friday, 18 May 2018

E-Puisi: Gaya Persembahan dan Apresiasi

Tahukah anda apa itu E-Puisi? Berkaitan dengan apa? Bagaimana memanfaatkannya?

E- Puisi merupakan puisi era teknologi yang juga dikenali sebagai puisi siber ataupun puisi elektronik. Puisi digital kini tidak hanya sebuah puisi yang ditulis di komputer dan diterbitkan dalam cetakan atau laman web seperti blog dan sebagainya.

E-Puisi boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti hiperteks, puisi kinetik, animasi komputer, puisi visual digital, puisi interaktif dan banyak jenis lagi serta dapat diprogramkan oleh komputer untuk mencipta karya yang mempunyai sentuhan interaktif.

Bagaimana untuk mengenali E-Puisi?

E-Puisi akan mengintergrasikan penggunaan internet, mempunyai bentuk-bentuk yang tertentu seperti pantun, sajak, syair dan teromba. kemudian, mempunyai elemen-elemen interaktif iaitu dapat memberikan peluang untuk pembaca menyertai penghasilan puisi berkenaan. seterusnya, e-Puisi akan menggunakan elemen multimedia dan mempunyai pautan (hyperteks).

Berikut merupakan persembahan E-Puisi yang memanfaatkan tiga jenis puisi dan ketiga-tiga puisi ini telah diambil daripada laman youtube. Analisis yang akan dilakukan telah mengambil kira daripada satu elemen multimedia iaitu video. Melalui paparan ini, pembaca akan didedahkan dengan bagaimana sesebuah elemen video dapat dipersembahkan dalam sebuah puisi elektronik.






Thursday, 17 May 2018

Analisis E-Cerpen Ramadhan Terakhir Karya Miqael Arshad Menggunakan Teori Konseptual Kata Kunci

Assalamualaikum/ Selamat Sejahtera.

Selamat berpuasa semua. Sudah lama rasanya kita tidak bersiaran kan? Bukan apa, Pungguk Siber kini sibuk dengan PRU dan menguruskan hal-hal berkaitan sastera bagi memastikan anda semua dapat mengenali e-sastera dengan lebih dekat. Oh ya, pada minggu lepas, Pungguk Siber telah diminta untuk membentang sebuah e-cerpen dan menganalisis cerpen tersebut menggunakan teori-teori sastera yang telah diperkenalkan oleh sasterawan. Dalam pembentangan tersebut, Pungguk Siber telah memilih e-cerpen yang dihasilkan oleh Miqael Arshad, seorang blogger yang aktif dalam menghasilkan karya-karya siber di blog beliau, miqaelarshad.blogspot.com. Kalau anda berkelapangan silalah singgah di blog beliau ya. 

Berbalik kepada analisis yang Pungguk Siber (PS) lakukan sewaktu pembentangan tersebut, PS telah memilih salah satu cerpen yang terdapat di dalam blog Miqael Arshad bertajuk Ramadhan Terakhir. Tajuk ini bertepatan dengan bulan puasa yang kita sedang lalui sekarang. Cerpen Ramadhan Terakhir ini mengisahkan tentang hubungan kekeluargaan yang semakin renggang setelah anak-anak Haji Fuad dan Hajah Salmah mempunyai kehidupan masing-masing dan mendirikan rumah tangga. Mereka berdua tinggal bersama anak angkat mereka yang bernama Asyura. Haji Fuad dan Hajah Salmah mencuba untuk memujuk anak-anak mereka iaitu Syukri dan Syida supaya pulang beraya bersama mereka pada tahun itu kerana anak-anak mereka telah lama tidak pulang meraikan hari raya pertama di kampung. Cerpen ini mengisahkan kasih sayang ibu bapa dalam membesarkan anak-anak mereka dan penantian dalam menunggu kepulangan anak mereka di hari lebaran. 

Mengenai teori pula, PS memilih Teori Konseptual Kata Kunci yang diperkenalkan oleh Mokhtar Abu Hassan. Apa itu Teori Konseptual Kata Kunci? . Teori ini pada asalnya dibina apabila  Mohamad Mokhtar membuktikan tanggapan tanggapan Anna Wierzika, iaitu seorang Profesor Linguistik di Australian National University yang menyatakan bahawa budaya dan masyarakat boleh diperjelaskan kepada umum melalui kata-kata kunci. Dengan kata kunci juga, khalayak boleh mengenali dan memahami kehidupan, citra dan budaya sesuatu masyarakat dengan cara mendalami dan melihat kepada turutan makna kata yang hadir dalam kehidupannya. Selain itu, bagi menguatkan keyakinannya terhadap kekuatan kata kunci ini, Mokhtar juga menguatkan tanggapannya kepada pendapat Hashim Musa. Dalam bukunya yang berjudul Pengantar Falsafah Bahasa, Hashim menjelaskan bahawa `Kata Kunci ialah sejumlah perkataan dalam pembendaharaan kata sesuatu bahasa yang sangat kuat mempengaruhi pembentukan fikiran, konsepsi masyarakat itu tentang kewujudan alam, realiti dan kehidupan mereka`. Beliau turut menghuraikan pendapat Reymond Williams yang menyatakan bahawa kata-kata dan makna boleh mempengaruhi tingkah laku sosial dan budaya dalam sesuatu masyarakat. Berdasarkan kepada pandangan dan dapat dua orang tokoh linguitik itu, Mohamad Mokhtar percaya bahawa budaya dan tingkah laku sosial dalam karya sastera tidak hanya boleh dilihat dari pandangan Semiotik, sebaliknya dapat didalami dengan menganalisis kehadiran kata-kata yang dihubungkan secara bermakna dengan kata kunci. Menerusi teori ini, Mohamad Mokhtar Hassan telah menghuraikan makna Konseptual Kata Kunci dan menerangkan tiga prinsip utama teori iaitu kepengaruhan, diksi dan kesan. Faham? secara ringkas dan mudahnya Teori Konseptual Kata Kunci ini menjelaskan tentang kata kunci yang terdapat dalam sesebuah karya dan elemen-elemen lain yang terkandung dalam kata kunci tersebut. Keterangan mengenai prinsip-prinsip Teori Konseptual Kata Kunci ini boleh dilihat pada video yang akan dilampirkan.

Penganalisisan Teori Konseptual Kata Kunci dalam cerpen Ramadhan Terakhir ini, PS mendapati beberapa kata kunci yang telah dikenalpasti, iaitu KESEDIHAN, KEMARAHAN, KASIH SAYANG dan PENYESALAN. Maklumat yang lebih jelas tentang analisis ini adalah seperti video berikut:


Bagaimana? berdasarkan analisis dalam video di atas, adakah anda semua faham tentang Teori Konseptual Kata Kunci? Jika ya, anda boleh juga cuba terapkan teori ini terhadap cerpen-cerpen atau novel-novel yang lain. Selamat mencuba....


Tuesday, 17 April 2018

Penulisan Mawar Safei di Blog

Pendahuluan
Perkembangan teknologi maklumat pada hari ini telah mentransformasikan karya sastera Melayu yang berbentuk cetakan atau lisan kepada bentuk sastera siber yang dihubungkan dengan jaringan internet. Bentuk sastera siber ini telah diberikan nafas baru dan dipersembahkan dengan ciri-ciri multimedia seperti teks, grafik, audio dan video. Karya sastera alaf baru ini telah berubah secara dinamik sejajar dengan perkembangan masa dan kehendak para pengguna iaitu menginginkan sesuatu yang mudah untuk dibaca, dicapai, menjimatkan kos dan masa serta lain-lain lagi. Tambahan itu, perkembangan karya sastera ini juga turut berjaya disampaikan dengan bantuan penggunaan media-media sosial seperti facebook, twitter, youtube, blog, wordpress dan sebagainya. Hal ini kerana, setiap pengguna boleh dikatakan wajib memiliki salah satu akaun penggunaan media sosial untuk mendapatkan bahan bacaan, berita terkini dan juga hiburan. Melalui perkembangan teknologi dalam bidang sastera yang semakin pesat maka, lahirlah pengkarya-pengkarya baru dan muda. Justeru, berdasarkan perbincangan yang dilakukan ini akan lebih memberikan fokus terhadap aktiviti seorang penulis di blog atau media sosial. Penulis yang telah dipilih dalam perbincangan ini ialah Mawar Safei.

Perbincangan
Mawar Safei merupakan merupakan seorang tenaga pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau merupakan salah seorang penulis wanita yang lahir di Singapura pada 27 Februari 1971. Selain itu, beliau juga merupakan seorang pengulas cerpen Dewan Siswa sejak 2007 sehingga kini. Sebagai seorang penulis, beliau telah banyak menghasilkan beberapa buku seperti Di Antara Pusam dengan Pournami (ITBM, 2017) dan Yang Aneh Yang Magis (Kata-Pilar, 2017) serta beberapa kumpulan cerpen yang bertajuk Zel (1998), Montaj II (2002), Masitah (2007, 2009), Narasi Gua dan Raqim (ITBM, 2014) dan Dan Coklat Mengalir dari Ruang Buncah (DBP, 2015). Sebagai seorang penulis yang berpengalaman, beliau telah menerima beberapa anugerah dan pengiktirafan melalui Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank atau Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil, Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Darul Takzim.
Gambar 1: Penulis Mawar Safei
            Sebagai seorang penulis, beliau juga menggunakan peluang terhadap perkembangan teknologi dalam karya sastera dengan memanfaatkan peluang ini sebagai satu platform bagi beliau untuk berkarya. Beliau sangat aktif mengendalikan dan menulis sebuah blog yang dikenali sebagai http://mawarshafei.blogspot.my/. Melalui blog yang telah dibina tersebut, beliau berkongsi pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan penulisan karya, program-program berkaitan dengan bidang sastera dan melakukan pelbagai ulasan terhadap karya sastera dengan para pembaca. Blog beliau telah mempunyai seramai 459 pengikut dan kebanyakan pengikut-pengikutnya terdiri daripada penulis-penulis muda dan baru yang ingin mengikuti perkembangan beliau. Dengan melakukan perkongsian terhadap penulisan atau karya-karya beliau di dalam blog, beliau juga sering berhubung dengan para pembaca yang memberi komen, cadangan dan pertanyaan terhadap karya sastera. Mawar Safei menjadikan blog sebagai medium untuk berkongsi aktiviti dan penghasilan karya sastera kerana beliau beliau sedar akan kepentingan blog yang telah digunakan secara meluas oleh para pengkarya dan pembaca dalam berkongsi dan mencari ilmu pengetahuan. Tambahan itu, melalui perkongsian dalam blog, beliau dapat berinteraksi dengan para pembaca dalam keadaan yang lebih santai dan tidak terikat.

Berdasarkan pemerhatian melalui blog Mawar Safei ini, beliau sering menghasilkan penulisan melalui aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan oleh beliau. Apabila dia menghadiri majlis perkahwinan, beliau akan menghasilkan satu penulisan berbentuk puisi pendek dan ditujukan khas kepada pasangan pengantin tersebut. Penulisan beliau dilihat lebih tertumpu kepada penulisan yang bersifat perasaan peribadi, kasih sayang dan cinta. Kemudian, setiap penulisan yang telah dihasilkan oleh beliau juga akan mendapat tindak balas daripada para pembaca dan kebanyakannya terdiri daripada kaum wanita.Hal ini kerana, sebagai seorang penulis wanita, beliau memahami dan mengetahui mengenai kehendak yang diperlukan oleh para pembaca yang terdiri daripa golongan yang sama. Selain itu, setelah meneliti blog Mawar Safei ini, boleh disimpulkan bahawa beliau mengemaskini blog pada setiap hari dan menjadikannya sebagai sebuah diari. Perkara ini dapat dibuktikan apabila beliau selalu memasukkan bahan penulisan baharu selang beberapa hari dan mengikut situasi yang dialami oleh beliau. Oleh itu, catatan aktiviti dan karya sastera yang ditulis setiap hari boleh dilihat melalui melalui kiriman blog Mawar Safei sendiri.

            Satu rumusan dapat dilakukan melalui contoh-contoh kiriman penulisan blog Mawar Safei seperti yang telah dinyatakan di atas iaitu beliau merupakan seorang penulis blog yang sangat aktif. Beliau sering menulis segala aktiviti yang telah dilakukan oleh beliau untuk dikongsikan bersama rakan-rakan pembaca blog beliau. Selain itu, melalui penelitian yang telah dilakukan terhadap blog Mawar Safei, para pembaca juga dapat mengetahui dan mengenali personaliti beliau yang sangat mementingkan ketenunan penggunaan bahasa dan juga tulisan. Beliau tidak menggunakan bahasa yang ringkas untuk mengekalkan keindahan penulisan beliau serta menerapkan bunga-bunga bahasa dalam mengindahkan setiap hasil karyanya.  

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat pelbagai kepentingan yang akan diperolehi oleh karya-karya sastera dengan memanfaatkan perkembangan teknologi ini. Karya-karya sastera lama yang telah dihasilkan boleh diberikan nafas baru pada zaman yang moden ini dan dikenali serta dipertahankan oleh para pembaca. Perkara ini dapat mengekalkan kesegaran atau evergreen sesebuah karya dan khazanah bacaan dapat dipertahankan. Tambahan itu, melalui perkembangan ini juga, generasi-generasi yang akan datang dapat mengetahui latar belakang dan sejarah-sejarah sastera pada era yang lalu. Oleh itu, tindakan dan usaha yang dilakukan oleh pengkarya-pengkarya pada masa kini dengan melakukan transformasi terhadap karya-karya lama dan menambahkan penghasilan karya-karya sastera merupakan satu usaha yang perlu dipuji dan diteruskan.

Friday, 13 April 2018

Analisis Laman Web Penerbit ITBM Terhadap Karya Sastera


Pengenalan
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (276206 D) atau singkatannya ITBM (sebelum ini dikenali sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia) ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada 14 September 1993 untuk menyediakan prasarana bagi mewujudkan industri terjemahan di Malaysia, selaras dengan haluan negara menuju Wawasan 2020.
Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, modal asas ITBM dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) manakala pentadbirannya diselia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Selaras dengan Akta Syarikat 1965, objektif, bidang kuasa, ahli lembaga pengarah dan urusan berkaitan fungsi ITBM tertakluk kepada Memorandum dan Tataurusan Persatuan ITBM yang diluluskan oleh Pendaftar Syarikat.
ITBM ditubuhkan bagi mengangkat bidang terjemahan dalam negara, mengendali hal ehwal berkaitan terjemahan, kejurubahasaan dan pemindahan ilmu pada semua peringkat, kebangsaan mahupun antarabangsa. ITBM juga bertanggungjawab memperkasa dan memperbanyak penerbitan karya asli penulis tempatan bagi merancakkan industri perbukuan negara selaras dengan perluasan mandatnya yang diumumkan oleh YAB Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 16 Disember 2011.

Objektif
Tujuan analisis ini dijalankan adalah untuk mengetahui dan memahami fungsi dan keberkesanan laman web ITBM dalam pemasaran karya sastera sama ada diterbitkan sendiri oleh ITBM ataupun melalui saluran lain. 

Aspek Ekstrinsik:
Laman web ITBM megandungi enam butang utama seperti:
  1. Tentang ITBM
  2. Khidmat ITBM
  3. Katalog Buku
  4. Galeri
  5. Hubungi Kami
  6. Acara
Di samping itu, laman web ITBM juga mengandungi butang-butang tambahan lain seperti:
  1. Ikon belian
  2. Ikon daftar masuk
  3. Ikon laman sosial (Instagram, facebook, twitter)
  4. Ikon carian dalaman
  5. Ikon berita
  6. Ikon gambar
  7. Ikon ITBM TV
Aspek Intrinsik: 

Secara keseluruhannya, laman web ITBM ditampilkan secara menarik namun masih kedapatan ruang penambahbaikan. Penambahabaikan yang dimaksudkan adalah seperti pemilihan warna boleh dipelbagaikan supaya menarik, susunan ikon-ikon perlu lebih menonjol dan pemilihan font dari segi saiz dan jenis. 

Seterusnya, dilihat dari aspek pengkategorian buku masih memerlukan penyusunan yang lebih teratur dan kemas. sebagai contoh, kategori utama hendaklah diwujudkan dan diikuti dengan sub-kategori. Buat masa ini, laman web ITBM mencampuradukkan kategori-kategori buku. Skop pengkategorian karya yang difokuskan oleh laman web ITBM adalah seperti sastera dunia, sastera sejarah, buku puisi, novel dan banyak lagi.

Jumlah buku yang dipaparkan amat memuaskan namun perlu diperbanyakkan lagi pada masa hadapan. 
Dari aspek pemasaran pula, lama web ITBM menyediakan paparan bakul belian dan harga bagi memudahkan urusan pembelian dari seluruh dunia dilakukan. 

Strategi Pemasaran ITBM

Strategi pemasaran yang ITBM terapkan tidak tertumpu kepada karya sastera sahaja. Bahkan penulisan-penulisan  lain seperti ensiklopedia, penterjemahan, buku sekolah, novel klasik, novel remaja dan antologi puisi. Pengekalan sastera klasik yang mempunyai peminatnya yang tersendiri membuatkan ITBM telah mengulang cetak karya sastera-sastera lama seperti berikut:



Berdasarkan gambar yang ditunjukkan di atas, didapati karya-karya tersebut dihasilkan oleh penulis-penulis lama namun masih diulang cetak oleh ITBM sehingga ke hari ini. Sebagai contoh, Anak Mat Lela Gila karya, Budak Beca, Putera Gunung Tahan dan Sayang Ustazah Sayang karya Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako. Ini membuktikan bahawa karya-karya sastera masih mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pembaca.

Selain daripada pemasaran buku sebagai salah satu strategi pemasaran yang diperkenalkan oleh ITBM dalam laman sesawang, ITBM juga telah mewujudkan satu ruangan untuk memberikan input-input kepada pembaca mengenai aktiviti-aktiviti yang mereka jalankan seperti ITBM TV dan berita. ITBM TV memainkan peranan dalam memberikan input-input tentang aktiviti-aktiviti sastera yang dijalankan seperti aktiviti membaca puisi. Contoh aktiviti yang dijalankan dalam ITBM TV adalah seperti berikut:




Selain itu, berita-berita tentang sastera juga ada dipaparkan dalam ITBM
Sehubungan itu, dengan adanya ITBM TV ini, pembaca dapat mengetahui perkembangan terkini sastera tanah air.  

Sumber gambar: https://www.google.com/search?q=itbm&source=lnms&tbm=isch&sa=X&ved=0ahUKEwjB9qed2LjaAhVKs48KHQYmAYoQ_AUICygC&biw=1366&bih=662#imgrc=NQxvDPxONfCSvM:

Friday, 23 March 2018

Berbaloikah Kebijaksanaan Hang Nadim?


Siapakah Hang Nadim? Adakah anda kenal siapa itu Hang Nadim? Adakah kanak-kanak di dalam video di bawah merupakan Hang Nadim kerana diceritakan Sulalatus Salatin bahawa Hang Nadim merupakan seorang kanak-kanak yang bijaksana.


Dapatkah anda bayangkan bagaimanakah sosok Hang Nadim itu? Mungkin sosok tersebut dapat digambarkan melalui paparan video di atas. Atau masih kurang jelas? 

Baiklah, menurut cerita lagenda Melayu Singapura Dilanggar Todak, Hang Nadim merupakan seorang kanak-kanak lelaki Melayu yang mempunyai kebijaksanaan akal yang cukup tinggi dalam usaha untuk menyelamatkan Temasek yang kini dikenali sebagai Singapura daripada serangan ikan todak. 

Kebijaksanaan beliau dapat dibuktikan dengan menyuarakan kepada pemerintah Temasek supaya membina sebuah tembok panjang dan tebal dengan menggunakan batang pisang mengelilingi pantai. Pembinaan tembok berfungsi sebagai penghadang daripada serangan ikan todak. Cadangan Hang Nadim telah diterima dan berjaya setelah banyak ikan todak tersangkut muncungnya pada batang-batang pisang. Gambaran mengenai suasana Singapura Di Langgar Todak adalah seperti video di bawah:



Kebijaksanaan yang dimiliki oleh Hang Nadim telah menyebabkan timbulnya rasa iri hati di kalangan ahli tertinggi Mahkamah DiRaja. Lantas mengaburi penilaian Sultan terhadap pahlawan cilik ini yang telah berjasa menyelamatkan nyawa rakyat Singapura. Melalui pengkhianatan ini, maka kezaliman telah mengatasi kebijaksanaan. Ternyata kebijaksanaan yang ditunjukkan oleh Hang Nadim tidak berbaloi pada pemerintahan zaman itu.

Kesimpulannya, seseorang yang mempunyai kebijaksanaan seperti Hang Nadim perlu digilap oleh pemimpin atasan negara. Hal ini kerana kebijaksanaan seseorang pemimpin merupakan suatu aset yang bernilai kepada negara.


Monday, 12 March 2018

Apa itu e-sastera?



Anda masih ingat lagi paparan berkaitan penerangan sebelum ini mengenai sorotan e-sastera? Tentu anda semua tertanya-tanya apa itu e-sastera kan? Dan mesti ada sesetengah daripada anda berasakan tiada perkara yang menyeronokkan mengenai blog ini selain daripada penerangan berkaitan sastera sahaja. Jika anda berfikiran begitu, ternyata anda...
SALAH!!

E-sastera merupakan perkara yang menyeronokkan untuk diselami. Seronoknya belajar e-sastera ini seumpama seperti anda mendapat semangkuk cendol dan milo ais kepal dikala cuaca panas terik. Teruskan membaca dan anda akan mencapai keseronokan tersebut. Kami janji!

Berbalik kepada persoalan ita tadi. Apa itu e-sastera? adakah ianya sebuah tajuk drama baharu yang akan ditayangkan untuk slot Akasia TV3? Jawapannya adalah seperti berikut:

~ e-sastera adalah satu cabang ilmu sastera yang baharu yang diperkenalkan selari dengan perkembangan teknologi masa kini

~ ianya wujud hasil daripada garapan pengarang muda masa kini yang penuh dengan idea-idea yang bernas dalam menghasilkan sebuah karya sastera yang mengandungi unsur-unsur siber dan multimedia bagi menimbulkan minat khalayak masa kini terutamanya golongan muda

~ ianya juga disebut sebagai sastera siber dimana memerlukan talian internet bagi mengakses atau mewujudkan sesebuah karya e-sastera tersebut.

E-sastera ini tidak semuanya dikuasai atau dimonopoli oleh golongan muda, bahkan pengkarya-pengkarya yang telah lama berkecimpung dalam dunia kesusasteraan ini juga banyak memberikan idea-idea dalam menghasilkan karya yang bermutu tinggi. Antaranya adalah:

(1) Nisah Haron; http://annyss.blogspot.com/
(2) Faisal Tehrani; http://tehranifaisal.blogspot.com/
(3) ShamsudinOthman; http://shamsudinothman.blogspot.com/
(4) Zurinah Hassan; http://Zurinahhassan.blogspot.com/

Diharapkan dengan penerangan serba sedikit ini memberikan sedikit gambaran kepada semua dalam e-sastera. Berbalik kepada janji kami tadi, adakah anda seronok membaca penerangan berkaitan e-sastera ini? jika ya, alhamdulillah. Jika tidak, kami pasrah. Sekian, terima kasih.

Sumber gambar 1: https://www.google.com/search?biw=1366&bih=662&tbm=isch&sa=1&ei=kam1WvqUPJfEvwSzg5TwAw&q=dont+know&oq=dont+know&gs_l=psy-ab.3..0i10k1j0l2j0i10k1l2j0l2j0i10k1j0j0i10k1.8808.10171.0.10331.9.9.0.0.0.0.61.414.9.9.0....0...1c.1.64.psy-ab..0.9.413...0i67k1.0.PsVNY4zp4W8#imgrc=M_wpKH3K3Hy6YM:

Sumber gambar 2: https://www.google.com/search?biw=1366&bih=662&tbm=isch&sa=1&ei=nKm1WrDkOYfkvASH-7zwCA&q=no&oq=no&gs_l=psy-ab.3..0i67k1l5j0l5.98080.98939.0.100029.5.5.0.0.0.0.74.222.4.5.0....0...1c.1.64.psy-ab..0.4.220.0...31.X6MPeAQNFk4#imgrc=B4OyBc14EklrtM:


Sunday, 11 March 2018

Pengenalan Kepada e-Sastera


Pelbagai bidang ilmu telah berkembang sejajar dengan perkembangan dan kemajuan pesat media siber pada ketika ini malah perkembangan ini juga turut mempengaruhi bidang sastera.Namun terdapat banyak pandangan yang timbul terhadap perkara ini dan boleh dilihat melalui dua aspek sama ada positif dan negatif.

Dari aspek positif, terdapat pandangan yang menyatakan bahawa karya sastera siber ini mampu memperlihatkan estetikanya pada tahap yang tinggi berbanding sastera klasik. Dari sudut negatif pula, ada pandangan yang menyatakan bahawa mutu dan estetika sastera siber akan terjejas.

Oleh itu, melalui persepsi pelbagai yang timbul ekoran daripada perkembangan karya sastera ini maka terdapat banyak kajian yang telah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji tempatan dan juga luar negara. Kajian-kajian tersebut dapat didalami dengan lebih lanjut berdasarkan video seperti berikut:

Sumber gambar:
https://www.google.com/search?q=e-sastera&source=lnms&tbm=isch&sa=X&ved=0ahUKEwi7hf_C5oPaAhWKPo8KHUzhBskQ_AUICigB&biw=1366&bih=662#imgrc=aikvPXxrXdFlrM: