Pendahuluan
Perkembangan
teknologi maklumat pada hari ini telah mentransformasikan karya sastera Melayu
yang berbentuk cetakan atau lisan kepada bentuk sastera siber yang dihubungkan dengan
jaringan internet. Bentuk sastera siber ini telah diberikan nafas baru dan
dipersembahkan dengan ciri-ciri multimedia seperti teks, grafik, audio dan
video. Karya sastera alaf baru ini telah berubah secara dinamik sejajar dengan
perkembangan masa dan kehendak para pengguna iaitu menginginkan sesuatu yang
mudah untuk dibaca, dicapai, menjimatkan kos dan masa serta lain-lain lagi.
Tambahan itu, perkembangan karya sastera ini juga turut berjaya disampaikan
dengan bantuan penggunaan media-media sosial seperti facebook, twitter, youtube, blog, wordpress dan sebagainya. Hal ini kerana, setiap pengguna boleh
dikatakan wajib memiliki salah satu akaun penggunaan media sosial untuk
mendapatkan bahan bacaan, berita terkini dan juga hiburan. Melalui perkembangan
teknologi dalam bidang sastera yang semakin pesat maka, lahirlah
pengkarya-pengkarya baru dan muda. Justeru, berdasarkan perbincangan yang
dilakukan ini akan lebih memberikan fokus terhadap aktiviti seorang penulis di
blog atau media sosial. Penulis yang telah dipilih dalam perbincangan ini ialah
Mawar Safei.
Perbincangan
Mawar Safei merupakan merupakan seorang
tenaga pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau merupakan salah
seorang penulis wanita yang lahir di Singapura pada 27 Februari 1971. Selain
itu, beliau juga merupakan seorang pengulas cerpen Dewan Siswa sejak 2007 sehingga kini. Sebagai seorang penulis,
beliau telah banyak menghasilkan beberapa buku seperti Di Antara Pusam dengan Pournami (ITBM, 2017) dan Yang Aneh Yang Magis (Kata-Pilar, 2017)
serta beberapa kumpulan cerpen yang bertajuk Zel (1998), Montaj II (2002),
Masitah (2007, 2009), Narasi Gua dan Raqim (ITBM, 2014) dan Dan Coklat Mengalir dari Ruang Buncah (DBP,
2015). Sebagai seorang penulis yang berpengalaman, beliau telah menerima
beberapa anugerah dan pengiktirafan melalui Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public
Bank atau Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil, Hadiah Sastera Perdana
Malaysia dan Hadiah Sastera Darul Takzim.
Gambar 1: Penulis Mawar Safei
Sebagai
seorang penulis, beliau juga menggunakan peluang terhadap perkembangan
teknologi dalam karya sastera dengan memanfaatkan peluang ini sebagai satu
platform bagi beliau untuk berkarya. Beliau sangat aktif mengendalikan dan
menulis sebuah blog yang dikenali sebagai http://mawarshafei.blogspot.my/.
Melalui blog yang telah dibina tersebut, beliau berkongsi pelbagai aktiviti
yang berkaitan dengan penulisan karya, program-program berkaitan dengan bidang
sastera dan melakukan pelbagai ulasan terhadap karya sastera dengan para
pembaca. Blog beliau telah mempunyai seramai 459 pengikut dan kebanyakan
pengikut-pengikutnya terdiri daripada penulis-penulis muda dan baru yang ingin
mengikuti perkembangan beliau. Dengan melakukan perkongsian terhadap penulisan
atau karya-karya beliau di dalam blog, beliau juga sering berhubung dengan para
pembaca yang memberi komen, cadangan dan pertanyaan terhadap karya sastera. Mawar
Safei menjadikan blog sebagai medium untuk berkongsi aktiviti dan penghasilan
karya sastera kerana beliau beliau sedar akan kepentingan blog yang telah
digunakan secara meluas oleh para pengkarya dan pembaca dalam berkongsi dan
mencari ilmu pengetahuan. Tambahan itu, melalui perkongsian dalam blog, beliau
dapat berinteraksi dengan para pembaca dalam keadaan yang lebih santai dan
tidak terikat.
Berdasarkan pemerhatian
melalui blog Mawar Safei ini, beliau sering menghasilkan penulisan melalui
aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan oleh beliau. Apabila dia menghadiri
majlis perkahwinan, beliau akan menghasilkan satu penulisan berbentuk puisi
pendek dan ditujukan khas kepada pasangan pengantin tersebut. Penulisan beliau
dilihat lebih tertumpu kepada penulisan yang bersifat perasaan peribadi, kasih
sayang dan cinta. Kemudian, setiap penulisan yang telah dihasilkan oleh beliau
juga akan mendapat tindak balas daripada para pembaca dan kebanyakannya terdiri
daripada kaum wanita.Hal ini kerana, sebagai seorang penulis wanita, beliau
memahami dan mengetahui mengenai kehendak yang diperlukan oleh para pembaca
yang terdiri daripa golongan yang sama. Selain itu, setelah meneliti blog Mawar
Safei ini, boleh disimpulkan bahawa beliau mengemaskini blog pada setiap hari
dan menjadikannya sebagai sebuah diari. Perkara ini dapat dibuktikan apabila
beliau selalu memasukkan bahan penulisan baharu selang beberapa hari dan
mengikut situasi yang dialami oleh beliau. Oleh itu, catatan aktiviti dan karya
sastera yang ditulis setiap hari boleh dilihat melalui melalui kiriman blog
Mawar Safei sendiri.
Satu
rumusan dapat dilakukan melalui contoh-contoh kiriman penulisan blog Mawar
Safei seperti yang telah dinyatakan di atas iaitu beliau merupakan seorang
penulis blog yang sangat aktif. Beliau sering menulis segala aktiviti yang
telah dilakukan oleh beliau untuk dikongsikan bersama rakan-rakan pembaca blog
beliau. Selain itu, melalui penelitian yang telah dilakukan terhadap blog Mawar
Safei, para pembaca juga dapat mengetahui dan mengenali personaliti beliau yang
sangat mementingkan ketenunan penggunaan bahasa dan juga tulisan. Beliau tidak
menggunakan bahasa yang ringkas untuk mengekalkan keindahan penulisan beliau
serta menerapkan bunga-bunga bahasa dalam mengindahkan setiap hasil karyanya.
Kesimpulan
Kesimpulannya,
terdapat pelbagai kepentingan yang akan diperolehi oleh karya-karya sastera
dengan memanfaatkan perkembangan teknologi ini. Karya-karya sastera lama yang
telah dihasilkan boleh diberikan nafas baru pada zaman yang moden ini dan
dikenali serta dipertahankan oleh para pembaca. Perkara ini dapat mengekalkan
kesegaran atau evergreen sesebuah
karya dan khazanah bacaan dapat dipertahankan. Tambahan itu, melalui
perkembangan ini juga, generasi-generasi yang akan datang dapat mengetahui
latar belakang dan sejarah-sejarah sastera pada era yang lalu. Oleh itu,
tindakan dan usaha yang dilakukan oleh pengkarya-pengkarya pada masa kini
dengan melakukan transformasi terhadap karya-karya lama dan menambahkan
penghasilan karya-karya sastera merupakan satu usaha yang perlu dipuji dan diteruskan.
No comments:
Post a Comment